suria

Staf Mahu Cuti, Ryanair Batal 80 Penerbangan Sehari

RYANAIR membatalkan beratus-ratus penerbangannya dalam tempoh enam minggu akan datang kerana masalah cuti kru kabin.

Syarikat penerbangan itu pada Jumaat mengeluarkan 160 perkhidmatannya yang telah dijadualkan ke destinasi di seluruh Eropah tanpa sebarang penjelasan, mencetuskan kemarahan pelancong.

Malah, ia kini merancang untuk membatalkan 80 penerbangannya setiap hari sehingga akhir bulan Oktober dalam usaha meningkatkan statistik ketepatan masa dan menghabiskan 'tunggakan cuti kru'.

Sejak awal bulan September bilangan ketibaan tepat pada masanya telah jatuh di bawah 80 peratus disebabkan isu kawalan lalu lintas udara, sekatan waktu pendaratan dan keadaan cuaca yang buruk.

Ryanair juga mengakui bahawa kakitangannya mempunyai cuti yang perlu diambil sebelum akhir tahun ini apabila syarikat penerbangan itu beralih ke sistem perakaunan baharu.

Ini bermakna puluhan penerbangan harian di seluruh Eropah akan dibatalkan tanpa amaran, menyebabkan pelancong terkandas.

Syarikat penerbangan itu telah menjadi sasaran pelanggan yang marah di Twitter, mempersoalkan tentang penerbangan mereka yang dibatalkan.

Seorang pelanggan yang kecewa menulis di Twitter: "Tak dapat terima pembatalan dibuat disebabkan isu-isu di luar kawalan anda tanpa memberi alasan sebenar."

Satu lagi tweet: "Saya ada satu e-mel mengatakan penerbangan saya pada Isnin dibatalkan. Boleh anda bantu?"

"Penerbangan saya dari Stansted ke Pisa esok telah dibatalkan. Di tempat lain ia masih tertera seperti yang dijadualkan. Apa yang sedang berlaku?," tulis seorang lagi penumpang.

Pelanggan lain dengan sinis menambah: "Terima kasih kerana membiarkan pasangan saya di Madrid dan tidak menawarkan alternatif untuk dia pulang ke rumah."

Antara penerbangan yang dibatalkan ialah 17 penerbangan keluar dan masuk Lapangan Terbang Dublin, termasuklah Madrid, Edinburgh, Amsterdam dan London Gatwick.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tersebut berkata: "Ryanair telah beroperasi pada jadual rekod dan paras trafik pada puncak musim panas tetapi peruntukan cuti kru mesti dihabiskan sebelum 31 Disember 2017."

"Prestasi ketibaan tepat masa Ryanair telah menurun dari 90 peratus sehingga bawah 80 peratus dalam tempoh dua minggu lalu, angka yang tidak dapat diterima oleh Ryanair dan pelanggannya.

"Kami memohon maaf kepada sejumlah kecil pelanggan yang terjejas oleh pembatalan ini, dan akan melakukan yang terbaik untuk mengatur penerbangan alternatif dan/atau bayaran balik penuh untuk mereka." -dailymailUK


Ryanair

Artikel Sebelum

'Tolong Cari Kaktus Saya'

Artikel Berikut

Artikel Lain