suria

Aktivis Syria, Anak Dibunuh Kejam Di Istanbul

Mayat Orouba dan Halla (kanan) ditemui dalam keadaan menyayat hati.

SEORANG aktivis pembangkang terkemuka di Syria dan anak perempuannya yang bertugas sebagai wartawan ditemui mati di Turki.

Mayat Orouba Barakat, 60, dan Halla, 20, ditemui di apartmen mereka dekat daerah Uskudar, Istanbul.

Shaza, adik kepada Orouba berkata mereka ditikam sehingga mati.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Shaza mendakwa ahli keluarganya itu dibunuh dengan kejam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Media Turki melaporkan Orouba menyiasat dakwaan penyeksaan di dalam penjara yang dilakukan kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Halla pula bertugas sebagai editor untuk laman web pro pembangkang, Orient News.

Mereka juga berkawan rapat dengan pekerja sukarelawan Amerika Syarikat, Kayla Mueller yang diculik kumpulan militan IS di Syria pada 2013 dan meninggal dunia dua tahun kemudian.

Dalam satu temubual bersama ABC News tahun lalu, mereka bercakap mengenai kerjasama dengan Mueller membantu pelarian Syria.

"Hanya beritahu nama Kayla di hadapan mereka (pelarian Syria), kemudian mereka akan tersenyum," kata Orouba.

Orouba dan Halla disifatkan sebagai ibu dan adik kepada Kayla.

Mereka tidak pernah berputus-asa untuk menyelamatkan Kayla sebelum dia meninggal dunia pada 2015.


aktivis Syria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain