JAKARTA: Jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat lebih 57,000 orang berikutan peningkatan aktiviti seismik di Gunung Agung di daerah Karang Asem, Bali Indonesia, seorang pegawai kanan agensi bencana berkata pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua. Pada Isnin seramai 48,000 orang telah dipindahkan. Sebelum ini, pada 19 September, pihak berkuasa Indonesia menaikkan status amaran untuk gunung berapi itu. "Aktiviti gunung berapi terus meningkat apabila pergerakan magma ke permukaan didapati lebih intensif," kata jurucakap agensi pengurusan bencana Sutopo Purwo Nugroho kepada Xinhua. Menurut pegawai itu, Presiden Indonesia Joko Widodo dijadual melawat mangsa di pusat pemindahan, Selasa. Gunung Agung kali terakhir meletus pada 1963-1964, masih aktif dengan kawah besar dan dalam, biasanya mengeluarkan asap serta debu. - Bernama