suria

Tiada Maklumat Sama Ada Yingluck Di UK

BANGKOK: Kerajaan Thailand tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra ketika ini berada di United Kingdom dan merancang untuk memohon suaka seperti yang dilaporkan oleh media asing.

Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri Jen Prawit Wongsuwan berkata kerajaan hanya dimaklumkan oleh Kementerian Luar bahawa Yingluck kini berada di Dubai.

“Saya tak tahu,” katanya ketika menjawab soalan media hari ini berhubung laporan terkini bahawa Yingluck berlepas dari Dubai menuju United Kingdom, dan beliau dilaporkan merancang untuk mengemukakan permohonan bagi mendapat suaka.

Beliau enggan menjawab soalan media sama ada kerajaan tentera akan memfailkan permohonan ekstradisi sekiranya benar Yingluck berada di United Kingdom dan merancang untuk memohon suaka.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan seterusnya berkata media seharusnya bertanya kepada bekas perdana menteri itu tentang rancangan masa depannya.

Media melaporkan tentang kehadiran Yingluck di United Kingdom susulan pengumuman Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha, Khamis berhubung kedudukan bekas pemimpin Thai itu sekarang.

Pengumuman Prayut bahawa Yingluck ketika ini berada di Dubai menamatkan spekulasi berhubung lokasi beliau berada sekarang setelah tidak hadir dalam perbicaraan penting di mahkamah pada bulan lepas.

Adik perempuan bekas perdana menteri yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra itu melarikan diri dari Thailand selepas gagal hadir untuk mendengar keputusan mahkamah berkaitan pembabitan beliau dalam skim subsidi beras yang diselubungi kontroversi.

Mahkamah Agung yang bersidang semula selepas menangguhkan keputusannya selama sebulan berikutan ketiadaan Yingluck bulan lepas mendapati beliau bersalah kerana kecuaian dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun tanpa kehadirannya. - BERNAMA

Yingluck Shinawatra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bas Ni Dah Kenapa Eh?

Artikel Lain