suria

Hanya Sempat Bergelar Isteri Tiga Hari

Tinggal kenangan... Katie dan Will memutuskan untuk berkahwin selepas dia disahkan menghidap kanser usus.

SEORANG guru sekolah rendah meninggal dunia akibat kanser usus hanya selepas tiga hari melangsungkan majlis perkahwinannya.

Katie Sutterby yang berkhidmat di Maltese Road Primary School, Chelmsford, Essex, meninggal dunia pada usia 29 tahun selepas disahkan menghidap penyakit tersebut lima minggu lalu.

Suaminya, Will Arnold berkata mereka memutuskan untuk mempercepatkan majlis perkahwinan tersebut kerana kesuntukan masa.

"Ia tidak dijangka... dia kelihatan sihat dan baharu berusia 29 tahun.

"Dia amat aktif, gemar berlari selain suka pergi ke gim.

"Pada akhir bulan Julai lalu, dia mengalami masalah penghadaman. Pada awalnya kami hanya pergi mendapatkan ubat di farmasi dan keadaan masih terkawal.

"Simptom penyakit berterusan dan doktor memintanya untuk melakukan ujian imbasan," katanya.

Menurut Will, keadaan Katie bertambah teruk dan ujian x-ray mendapati ada sesuatu pada imbasan yang dilakukan.

"Kami diberitahu bahawa dia menghidap kanser usus dan ia sudah merebak ke hati. Kami amat terkejut tetapi Katie kekal positif dan kuat," katanya.

Persiapan majlis perkahwinan mereka mengambil masa selama dua minggu dan pada 10 Ogos lalu, pasangan itu akhirnya melangsungkan perkahwinan sambil disaksikan keluarga dan rakan rapat.

"Ia amat menakjubkan apabila kami berjaya melakukannya dalam masa yang amat terhad. Dia kelihatan amat cantik.

"Ia hari yang sempurna dan Katie menikmati masa yang ada bersama keluarga dan rakannya.

"Kami tidak berpeluang untuk berbulan madu lebih lama. Kami mahu pergi ke Paris tetapi akhirnya kami memutuskan untuk pergi ke spa selama dua hari," katanya.

Katie menghembuskan nafas terakhirnya di Farleigh Hospice.

guru, meninggal dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain