TIARA Ratu Cantik Berkerusi Roda Dunia yang pertama menjadi milik wakil Belarus, Aleksandra Chichikova. Pelajar berusia 23 tahun itu mengakui tujuan menyertai pertandingan itu bagi membuktikan dia mampu menangani perasaan takut dan bimbang untuk berdepan dengan masyarakat kerana kekurangan pada dirinya. Buat pertama kalinya pertandingan seumpama itu dianjurkan pertubuhan dari Poland di Warsaw sebagai langkah untuk mengubah persepsi umum terhadap golongan kurang upaya. Pemenang kedua dirangkul wakil Afrika Selatan, Lebohang Monyatsi, manakala tempat ketiga adalah wakil Poland, Adrianna Zawadzinska. Acara ini anjuran The Only One Foundation yang diasaskan dua wanita kurang upaya yang mahu membuktikan bahawa golongan istimewa itu juga mampu menyahut cabaran seperti insan normal. Daripada 24 peserta dari 19 negara mengambil bahagian, bagaimanapun tiada calon mewakili Australia. Selepas empat edisi Ratu Cantik Berkerusi Roda Poland, akhirnya pada Sabtu lalu tercatat sejarah apabila acara sama diperingkat globar berlangsung dengan jayanya.