SEORANG wanita tidak tahu bahawa dirinya mengalami masalah penglihatan sehingga usianya mencecah 17 tahun. Semua ini berlaku gara-gara ibu bapanya merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuannya. Caroline Casey hanya mengetahui tentang masalah penglihatan yang dialaminya dalam satu perbualan tentang tentang ujian memandu. Sebelum itu, dia selalu menganggap dirinya seorang yang cemerkap dan tidak pandai bersukan tetapi tidak pernah tahu tentang perbezaan antara dirinya dan mana-mana rakan sekolahnya. Menulis untuk Daily Telegraph, Casey, dari Ireland, berkata: "Ketika saya membesar, saya tidak tahu ada yang tak kena dengan diri saya. "Saya memakai cermin mata dan sangat cemerkap, tetapi di sekolah gred saya tidak berbeza dengan orang lain." Sehinggalah pada suatu hari dia berbual panjang dengan pakar matanya yang akhirnya menceritakan tentang hakikat itu kepada dirinya. Segalanya bermula apabila dia menyatakan tentang hasratnya untuk mengambil lesen memandu tetapi tidak faham mengapa pakar matanya itu terkejut. Casey mempunyai albinisme okular, satu keadaan genetik mata yang menyebabkan masalah penglihatannnya akan terus kekal. Tetapi ibu bapanya, yang tahu tentang keadaan dirinya sejak berusia enam bulan, tidak pernah memberitahu perkara ini kepadanya. Casey masih ingat bagaimana ibunya berbohong dan hanya mengakui dan mengesahkan dia mempunyai masalah penglihatan apabila mereka bersemuka. Kini, wanita berusia 35 tahun itu berkata dia tidak marah dengan ibu bapanya kerana merahsiakan tentang kekurangan dirinya. Mengimbas masa lalu, Casey berkata dia sedar tidak dapat melakukan sesuatu dengan sempurna seperti orang lain terutama melibatkan aktiviti harian. Casey berkata: "Saya selalunya dapat mengatasi masalah ini. Saya masih boleh mengecam bentuk dan saya dapat melihat wajah seseorang pada jarak dekat, tetapi walaupun memakai cermin mata, dunia saya kelihatan seperti kamera yang hilang fokus." Sangat bangga dapat menggunakan alat bantu visual dan tidak selesa dilabelkan sebagai 'cacat', Casey meneruskan hidupnya seperti biasa sehinggalah dia berusia 28 tahun. Dia kemudian diminta untuk meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding pengurusan di syarikat Accenture. Casey memutuskan untuk meninggalkan peranannya dan menubuhkan organisasi tidak berasaskan keuntungan bagi mempromosikan imej positif orang kurang upaya.