SEPASANG pengantin yang melakukan 'adegan terlampau' ketika sesi penggambaran perkahwinan di hadapan sebuah biara Yunani mendakwa masyarakat tempatan terlalu 'berlebih-lebih' terhadap tindakan mereka. Matthew Lunn, 27, telah menyiarkan gambarnya bersama isteri yang baru dikahwininya, Carly, 34, dalam keadaan sedang berlutut di depannya, sementara dia berdiri tanpa seluar sambil mengangkat tangan. Sebagai tindak balas, bishop tertinggi pulau itu, Kyrillos of Rhodes, mengharamkan semua majlis perkahwinan asing diadakan di biara St Paul. Akibatnya, beratus-ratus bakal pengantin Britain terpaksa membatalkan upacara perkahwinan impian mereka yang sepatutnya dilangsungkan di situ. Tetapi Lunn telah mempertahankan gambar tersebut dan membidas pengkritik dalam masyarakat setempat. Dia memberitahu The Sun: "Ia telah diperbesarkan tanpa kewajaran. Kami hanya berpura-pura, malah bergelak ketawa. "Orang Greek 'berlebih-lebih'. Kami tak fikir kami buat apa-apa kesalahan tapi kami kesal dengan apa yang berlaku dan berharap kami tidak mengguris sesiapa." Susulan gambar perkahwinan pasangan itu yang dirakamkan pada 25 September lalu, Carly berkata ia dibuat mengikut perancangan. Selepas tular minggu lepas, dia berkata: "Kami dapat katakan ia adalah sesuatu yang dibuat untuk jenaka. "Kami jangka ia akan menjadi satu lawak dan hiburan, tetapi tidak mengharapkan ia popular seperti ini. "Orang-orang di England telah mengulas mengenai perkara ini, segalanya menimbulkan kemarahan." Walau bagaimanapun, dia kini dikatakan terlalu bingung untuk bercakap dengan sesiapa selepas dianggap menjadi penyebab kepada larangan perkahwinan di lokasi tersebut. Seorang rakan sekerjanya berkata: "Dia wanita baik, dia tidak akan melakukan tindakan seperti ini untuk menimbulkan masalah, dia tidak pernah jangka ia akan pergi sejauh ini." Foto mereka itu menarik kritikan di dalam dan luar negara selepas ia tular di internet. Presiden masyarakat tempatan Lindos di Rhodes, berkata: "Kami orang Yunani dan menghargai tradisi serta kesucian tapak agama kami. Kami tidak boleh membenarkan tingkah laku menjijikkan ini dilakukan. "Ratusan bakal pengantin dari Britain dan seluruh dunia menghubungi saya dan menangis kerana keputusan ini. "Pasangan ini telah melakukan kerosakan yang memalukan."