SEORANG pelancong British maut selepas terjatuh pada ketinggian 30 kaki dari sebuah kuil ketika sedang berswafoto. Lelaki berkenaan, yang dinamakan sebagai Roger James, 58, dikatakan sedang menghabiskan percutian sepanjang tahun mengelilingi dunia bersama isterinya, Hilary ketika berlakunya tragedi tersebut. Roger bersama isterinya Hilary. -fotoRogerStotesbury Sumber tempatan berkata dia telah berdiri di pinggir tembok di Kuil Lakshmi, Orchha, di tengah Madhya Pradesh, India untuk mengambil gambar selfie. Mereka yang berada di situ berkata dia 'tiba-tiba tergelincir dan jatuh dari ketinggian 30 kaki' ke tanah, pada pukul 4 petang Sabtu. Rakaman video dan gambar-gambar yang dirakamkan tidak lama selepas itu menunjukkan dia sedang menapak keluar menaiki anak tangga di luar kuil yang dibina pada abad ke-17 itu. Seorang wanita yang dipercayai isterinya, Hilary, 59, dilihat berjalan bersama suaminya, yang kelihatan masih sedar. Pasangan itu, yang difahamkan berasal dari Buckingham, dikatakan telah memulakan perjalanan mereka pada November 2016. Sepupu Hilary, Gina Rozner memberitahu Metro.co.uk: "Kami tak tahu sangat apa yang berlaku tetapi dia telah mengambil gambar, kemudian meletakkan iPad dengan berhati-hati di atas tebing dan entah bagaimana dia terjatuh tetapi tak pasti sama ada dia sedang mengambil gambar selfie atau tidak. "Dia adalah lelaki yang baik," katanya sambil menambah Roger dan isterinya berada di lokasi terakhir perjalanan mereka dan akan pulang ke rumah pada penghujung bulan ini. -fotoRogerStotesbury Bercakap pada Sabtu, pemeriksa polis bandar DD Azad berkata: "Pelancong British Roger James telah melawat Orchha dengan isterinya, Hilary. "Mereka telah melawat Kuil Lakshmi. Dia kemudiannya terjatuh dari balkoni semasa cuba mengambil selfie. "Lelaki itu cedera parah dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Tetapi dia meninggal dunia semasa rawatan. Kami telah memulakan prosiding undang-undang ke atas kes itu. "Difahamkan Roger bekerja sebagai pembuat filem dokumentari sebelum memulakan perjalanan dengan isterinya. Penduduk tempatan berkata dia terjatuh dari tembok di atas tangga depan dan pintu masuk. Dia dibawa ke Hospital Ramraja untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian. -metroUK