suria

Taufan Lan: Lima Nyawa Melayang

TOKYO: Taufan Lan yang membadai Jepun pada awal pagi Isnin telah meragut lima nyawa, manakala ramai lagi yang cedera akibat angin kencang dan hujan lebat yang berterusan.

Masao Hirashima, 63 maut selepas besi perancah binaan di tapak pembinaan runtuh di Fukuoka ketika angin bertiup kencang.

Mangsa kedua adalah lelaki berusia 70 tahun yang terjun ke laut selepas bot miliknya mengalami masalah kerosakan enjin untuk mengambil tali dari kapal lain. Mayatnya ditemui kira-kira 3.3 kilometer dari pantai di Yamaguchi, barat Jepun.

Sementara itu di Osaka pula, Yoshie Bannai, 68 ditemui mati dalam kereta yang tenggelam di Kishiwada dan di Mie kejadian sama berlaku melibatkan lelaki berusia 29 tahun.

Selain itu, seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 80an disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dan cedera pada kepalanya di bandar Osaka.

Di Wakayama pula, lelaki berusia 82 tahun masih tidak sedarkan diri selepas diselamatkan dalam kejadian banjir lumpur.

Taufan Lan yang diklasifikasikan sebagai ribut Kategori 4 melanda selatan Jepun dan bergerak ke utara pada kelajuan 40 kilometer sejam (km/j) setakat tengah hari Ahad, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Taufan itu membadai Shizuoka pada pukul 3 pagi (waktu tempatan), Isnin dengan kelajuan 175km/j sebelum meningkat kepada 198 km/j.

Susulan itu, puluhan ribu penduduk di seluruh Jepun dinasihatkan berpindah, manakala ratusan penerbangan dibatalkan dan perkhidmatan tren tergendala akibat hujan lebat dan angin kencang.

Seorang pegawai agensi berkenaan berkata, kekuatan taufan itu akan lemah tetapi ia masih membawa hujan lebat lebih 80 milimeter dalam tempoh sejam apabila tiba di daratan dekat Tokyo awal Isnin.

“Ia dijangka tiba di daratan sebagai taufan yang kuat,” katanyanya.

Lebih 20,000 isi rumah di pelbagai bahagian di Jepun dinasihatkan supaya berpindah, kata badan penyiaran awam, NHK.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah  mengarahkan kerajaan supaya mengambil langkah untuk meminimumkan ancaman terhadap nyawa manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, cuaca buruk yang melanda dikhuatiri akan menjejaskan peratusan pengundi dalam pilihan raya umum mengejut yang berlangsung Ahad.

Kerajaan Jepun yang diterajui gabungan parti politik pimpinan Abe, Parti Liberal Demokratik berada dalam haluan betul untuk memenangi majoriti dua pertiga yang dipegangnya sebelum pemimpin itu membubarkan Parlimen. 

Taufan Lan, Jepun

Artikel Sebelum

Salah Siapa?

Artikel Berikut

Apabila Arkitek Buat Kek

Artikel Lain