suria

Dua Jadi Tebusan Di Tempat Kerja

Anggota polis dan pasukan perubatan bersiap sedia di luar pusat boling di Bermuda Park susulan insiden dua pekerja pusat berkenaan dijadikan tebusan.

LONDON: Selepas kira-kira empat jam berdepan suasana tegang akibat dua pekerja pusat boling dijadikan tebusan, akhirnya polis berjaya menahan penjenayah bersenjata terbabit.

Penahanan suspek di taman hiburan Bermuda Park di Nuneaton di tengah England dibuat selepas polis mengosongkan kawasan itu apabila dimaklumkan mengenai kehadiran lelaki itu kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan.

"Kami lega kerana dapat menyelesaikan insiden ini secara aman tanpa kecederaan.

"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat Nuneaton kejadian ini tiada kaitan dengan kegiatan keganasan," kata jurucakap Polis Warwickshire, Alex-Franklin Smith.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan memasuki pusat boling itu dan menjerit "Permainan Tamat" sebelum mengarahkan semua pelanggan di situ keluar.

Ketika itu, antaran 40 dan 50 orang berada di dalam pusat hiburan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MFA Bowl, Mehdi Afshar berkata, tebusan adalah kakitangannya dan lelaki bersenjata terbabit ditahan selepas polis menyerbu bangunan itu.

Kedua-duanya adalah pengurus yang bertugas ketika itu dan juga pengendali lorong boling di pusat itu. Bagaimanapun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua pekerja itu ditahan lelaki yang digambarkan Afshar sebagai 'teman lelaki atau bekas suami seorang kakitangannya'. - Reuters

Bermuda Park

Artikel Sebelum

Apabila Arkitek Buat Kek

Artikel Berikut

Artikel Lain