JAKARTA: Pemilik kilang mercun yang meletup sehingga menyebabkan 47 mangsa terkorban telah dipanggil untuk disiasat pihak polis pada Jumaat. Siasatan itu dijalankan selepas organisasi buruh di Indonesia mendakwa insiden tersebut berlaku gara-gara ruang kerja di kilang tersebut tidak menepati piawaian keselamatan yang betul. Tragedi yang berlaku di luar Jakarta itu dikatakan sebagai kemalangan industri terburuk yang berlaku dalam sejarah. Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono berkata, pasukan penyiasat masih mengenal pasti punca kebakaran tersebut dan mula menemu bual saksi kejadian termasuk tiga pekerja dan seorang pemilik. "Ketika kejadian itu berlaku, pemiliknya berada di Malaysia, tetapi dia segera kembali setelah mendengar mengenai perkara tersebut," kata Yuwono. Ramai anggota keluarga yang cemas mengenai nasib pekerja di kilang tersebut telah berkumpul di luar hospital polis di Kramat Jati, Jakarta timur, menunggu untuk mengenal pasti mayat mangsa. Ramai antara mereka dilihat menangis dan membawa gambar orang tersayang. - Agensi