NEW YORK: Nota yang dipercayai ditinggalkan suspek yang merempuh laluan basikal dan mengorbankan lapan nyawa ditemui pasukan penyiasat kes di Manhattan itu. CNN melaporkan, menerusi nota itu, suspek mendakwa serangan itu dilakukan atas nama kumpulan militan Negara Islam (IS). Dalam insiden pada petang Selasa itu, 11 yang lain turut cedera akibat dirempuh trak yang disewa pemandu berusia 29 tahun itu kira-kira sejam sebelum kejadian itu. Suspek yang dikenali sebagai Sayfullo Habibullaevic Saipov memandu ke arah laluan basikal di Houston Street pada pukul 3.05 petang dan melanggar orang awam yang berada di situ sebelum merempuh sebuah bas sekolah di Chambers Street. Lima yang maut adalah warga Argentina yang melawat New York sempena ulang tahun ke-30 graduasi sekolah tinggi, kata Kementerian Luar Argentina. Selain itu, seorang lagi warganegara berkenaan juga dimasukkan ke hospital kerana cedera dalam serangan itu. Susulan kejadian itu, suspek ditembak polis di bahagian perut ketika cuba melarikan diri dan kini dirawat serta berada dalam kawalan polis. Menurut laporan, Saipov yang berasal dari Uzbekistan adalah migran ke Amerika Syarikat pada 2010. Mengikut alamat pada kad pengenalannya, Saipov tinggal di Tampa, Florida dan bekerja sebagai pemandu trak.