TOKYO: Lelaki tempatan yang ditahan selepas polis menemui sembilan mayat tanpa kepala di rumahnya mengaku membunuh semua mangsa dalam masa dua bulan selepas menghubungi mereka menerusi Twitter. Takahiro Shiraishi, 27 juga mengaku melakukan serangan seksual terhadap semua lapan wanita yang menjadi mangsanya, demikian lapor rangkaian Fuji TV. Shiraishi dilaporkan telah melapah tubuh mangsa dan menutupinya dengan pasir kumbahan kucing bagi mengelak bukti dikesan. Keseluruhannya, sebanyak 240 tulang milik sembilan mangsa, termasuk kepala, tangan dan kaki telah ditemui dalam bekas penyejuk dan bekas alat perkakasan di pangsapuri lelaki berkenaan, lapor Tokyo Shimbun. Suspek pernah bekerja sambilan di kawasan pelacuran di Shinjuku, daerah Kabukicho dan pernah ditahan kerana terlibat dalam jenauah terancang Februari lalu. Pada Jun, Shiraishi memberitahu bapanya bahawa "hidupnya tiada makna lagi" dan "tidak tahu apa tujuan sebenar untuk dia terus hidup". Hasil siasatan mendapati, suspek menggunakan Twitter untuk memikat mangsanya. Suspek juga memberitahu polis, empat mangsanya adalah remaja, empat lagi berusia sekitar 20an dan seorang lagi lewat 20an. Modus operandinya adalah menghubungi mangsanya menerusi Twitter sebelum membunuh mereka pada hari pertemuan ditetapkan. Perbuatan suspek terbongkar apabila abang mangsa menggodam akaun Twitter adiknya yang hilang dan mengesyaki sesuai yang mencurigakan. Susulan itu, perancangan dibuat untuk memerangkap suspek menggunakan seorang wanita yang mengenali Shiraishi. Polis yang mengekori suspek hingga ke kediamannya itu telah menggeledah unit pangsapuri itu dan ditunjukkan bekas penyejuk yang diisi bahagian anggota badan mangsa. Setakat ini, polis percaya Shiraishi bertindak sendirian, bagaimanapun motif perbuatannya masih tidak jelas. Persoalan lain adalah suspek telah membunuh mangsanya setiap minggu dan ia dilakukan tanpa jirannya mendengar jeritan mangsa, lapor Tokyo Shimbun.- The Straits Times/Asia News Network