suria

“Kerana Botox, Muka Saya Macam Hamster”

Carol Kingscott. -fotoBNPS/metroUK

WAJAH tiga wanita bengkak teruk sehingga tidak dapat melihat selepas mereka mendakwa menerima rawatan Botox 'palsu'.

Wajah mereka rosak teruk susulan rawatan Botox di sebuah klinik begerak yang dijalankan oleh seorang 'doktor' lelaki, Ozan Melin.

Mangsa, Marcelle King mengalami kejutan anafilaktik di wajahnya, sementara Jozette Sheppard tidak dapat makan atau bercakap dengan betul selama enam bulan.

Carol Kingscott pula menggambarkan bagaimana mukanya menjadi  seperti hamster dan memohon kisahnya disiarkan di program realiti TV sebagai langkah mencari bantuan atau penyelesaian.

Melin, dari Uxbridge, Middlesex, menafikan tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan berat anggota badan dan tiga tuduhan penipuan.

Gambar-gambar yang dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan mangsa dengan wajah 'kemerahan' dan membengkak.

Melin, 41, didakwa memberitahu mereka bahawa dia adalah seorang doktor perubatan terlatih, tetapi pemeriksaan menunjukkan tiada rekod.

Dia dikatakan telah menggunakan jarum besar dan Botox tiruan berbahaya yang boleh menyebabkan kesakitan teruk.

-foto BNPS/Dorset Police/metroUK

Kingscott, 57, seorang penyambut tetamu membayar £200 untuk menjalani rawatan Botox pada November 2011 selepas perkahwinannya selama 27 tahun gagal diselamatkan.

Dia berkata: "Di rumah, mula-mula saya rasa panas, seperti terlalu banyak terdedah dengan matahari. Ia kemudian semakin panas dan mula membengkak.

"Keesokan paginya muka saya kelihatan seperti seekor hamster. Muka saya seperti ditumbuk dan mata tidak boleh dibuka.

"Saya tahu ada sesuatu yang tak kena. Saya fikir mungkin ia adalah reaksi rawatan dan saya berasa agak bodoh. Saya kemudian menyapu losyen dan ia sangat sakit, mata saya hampir tidak dapat dibuka.

"Ketika itu saya sangat kecewa, perkahwinan saya selama 27 tahun hancur, sebab itulah saya mahu buat rawatan ini," katanya.

Malah, dia juga memohon kepada program realiti TV untuk melihat adakah mereka dapat membantunya.

-foto BNPS/Dorset Police/metroUK

Sheppard, 46, yang melakukan rawatan pada masa yang sama dengan Kingscott tidak dapat makan, bercakap atau tersenyum selama enam bulan kerana wajahnya 'membeku'.

King, 62, menerima suntikan Botox pada tulang pipi dan dahinya pada Julai 2013 di rumah seorang pakar kecantikan dan keesokan harinya mengalami kejutan anafilaktik.

-foto BNPS/Dorset Police/metroUK

Katanya, dia 'kelihatan 50 tahun lebih tua' selepas rawatan itu.

Isteri Melin pada masa itu, Lisa Bolster, 50, juga sedang dibicarakan atas tuduhan penipuan dengan pihak pendakwa menyatakan dia bersubahat dengan suaminya.

Dia juga berdepan tuduhan menggunakan tanda niaga tanpa kebenaran selepas polis menemui botol Botox tiruan di rumahnya di Lytchett Matravers, Dorset, pada tahun 2014.

Perbicaraan di Mahkamah Bournemouth Crown diteruskan. -metroUK


Botox, hamster

Artikel Sebelum

Anak Gajah Malang Terjun Lumpur

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tun Daim meninggal dunia