suria

Damrey Ragut 61 Nyawa

DANANG: Terkini, 61 orang terkorban, manakala 27 lagi hilang akibat Taufan Damrey yang membadai tengah Vietnam, Sabtu lalu.

Jawatankuasa Pencegahan Bencana negara itu memberitahu, kejadian itu juga menyebabkan kerosakan teruk infrastruktur akibat angin kencang itu.

Hampir 2,000 rumah musnah manakala 80,000 lagi rosak teruk.

"Taufan ini menumbangkan pokok serta tiang elektrik selain banjir di tengah Vietnam," katanya.

Bencana itu juga berlaku ketika negara itu bersiap menyambut kedatangan pemimpin dunia yang menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermula 11 November ini.

Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan punca mangsa terkorban tetapi kebanyakannya berada di wilayah Khan Hoa berhampiran bandar Nha Trang ketika taufan itu melanda, Sabtu lalu.

Banjir turut melimpahi kawasan jalan hingga menyebabkan kesesakan teruk di beberapa wilayah.

Taufan berkenaan bergerak dari kawasan pesisiran pantai hingga ke kawasan penanaman kopi utama di negara pengeluar kopi robusta terbesar itu.

Pada sidang kemuncak itu, Danang akan menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump termasuk Presiden China Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin serta beberapa lagi pemimpin dunia lain. - Reuters

Damrey

Artikel Sebelum

Korban Berdarah Bilik Darjah

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan