SEORANG lelaki sanggup memalsukan kematiannya selepas mendapat tahu isterinya mengupah pembunuh upahan untuk membunuhnya. Ramon Sosa yang juga jurulatih tinju sempat merakam gambarnya dengan kesan tembakan di kepala bagi membantu polis memburu isterinya Maria 'Lulu' Sosa. Maria didakwa mengupah seorang pembunuh upahan untuk membunuh suaminya dengan bayaran sebanyak 1,500 pound sterling. Wanita itu kemudian ketawa terbahak-bahak apabila melihat gambar suaminya sudah 'meninggal dunia'. Dalam satu gambar yang mengejutkan, darah dilihat mengalir dari kepala seorang lelaki yang tidak berbaju. Namun lelaki berusia 50 tahun itu sebenarnya masih hidup. Dengan bantuan FBI, Texas Rangers melukis solekan berdarah pada Ramon supaya dia kelihatan seolah-olah mati akibat ditembak. Kemudian mayatnya diletakkan di dalam sebuah lubang yang sudah digali. Pembunuh upahan yang sebenarnya pegawai polis yang menyamar kemudian menunjukkan gambar tersebut kepada Maria. Pasangan dari Houston, Texas itu tinggal bersama sejak lapan tahun lalu sebelum hubungan mereka berantakan gara-gara masalah kewangan pada 2015. Pada Oktober 2016, Lulu, 43, mengaku bersalah kerana melakukan pembunuhan dengan niat dan dipenjarakan selama 20 tahun. "Berbaring di atas tanah dalam keadaan berpura-pura mati amat menakutkan," kata Ramon.