suria

Hukuman 'Unik' Ibu Pelajar Digantung Sekolah Tular

KETIKA Demetris Payne melihat telefonnya ada panggilan tidak dijawab dari sekolah anaknya, dia tahu ada 'sesuatu yang tak kena'.

Ibu tunggal beranak empat dari Shreveport, Louisiana, itu terus menghubungi semula sekolah anaknya.

Seorang kakitangan sekolah memberitahu bahawa anaknya, Jadarien, 13, digantung selama tiga hari kerana melawan cakap gurunya. Dia diminta untuk mengambil anaknya segera.

"Tiga hari nampak teruk, kenapa tak buat 'penggantungan' di sekolah?," tanya Payne.

Sebaik sahaja mereka berdua tiba di rumah, Payne merampas telefon bimbit dan permainan video anaknya.

Dia ditinggalkan bersama bapanya yang berusia 70 tahun yang turut tinggal bersama keluarganya.

"Apabila saya pulang dari kerja saya tengok dia sedang makan strawberi dan berseronok dengan bapa saya," kata Payne kepada CBS News.

"Saya seperti, oh tidak...ia seperti bercuti."

Payne tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk mendisiplinkan anaknya.

Dia menyerahkan pencakar rumput dan meminta anaknya membersihkan kawasan belakang rumah.

Apabila selesai, dia memberitahu anaknya bahawa sepanjang tempoh penggantungan, dia akan menjadi sukarelawan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan secara percuma untuk sesiapa yang memerlukan.

"Dia tak percaya," kata Payne.

"Saya boleh berlembut dengannya dan kadang-kadang memanjakannya."

Tetapi kali ini Payne serius.

Dia memaparkan foto Jadarien di Facebook dengan tajuk 'Perkhidmatan Cuci Laman - PERCUMA' sambil menjelaskan anak lelakinya itu telah digantung sekolah dan akan memotong rumput, memungut sampah atau membasuh kereta untuk anggota masyarakat selama tiga hari akan datang.

Dalam masa beberapa jam, Payne mendapat tempahan daripada beberapa penduduk.

Jadi dia terus membawa Jadarien dari rumah ke rumah. Dia berdiri di tepi kereta dan memerhatikan anaknya bekerja. Dia memotong rumput, mengutip daun dan mencakar sampah.

"Dia tidak mengadu sepanjang masa," kata Payne.

Jadarien menghabiskan kira-kira dua jam membersihkan laman dan akhirnya berjaya membersihkan sekurang-kurangnya lapan rumah berbeza.

Apabila selesai, Payne membawanya ke perpustakaan, di mana dia menghabiskan masanya membaca dan menyelesaikan tugasan kerja rumah.

"Kami menjelaskan kepadanya bahawa ini bukan hukuman, tetapi memberi pengajaran tentang disiplin," kata Payne.

"Tidak kira jika guru itu betul atau salah, sentiasa hormati guru kamu, hormati orang dewasa."

Pada Selasa, Jadarien gembira akhirnya dapat kembali ke sekolah.

Rakan sekelas dan guru kelas memberitahunya bahawa mereka melihat kisahnya di Facebook.

"Dia hanya ketawa," kata Payne.

"Ada yang kata dia malu. Dia tidak malu sama sekali, dia bukan jenis macam tu."

Payne berbincang dengan guru-guru Jadarien untuk membantu membuat rancangan bagi memastikan anaknya berada di landasan yang betul.

Bagaimanapun, dia yakin Jadarien sudah mendapat pengajaran.

Beratus-ratus orang telah berkongsi posting Facebook Payne sepanjang minggu lalu, ramai yang memuji pendekatan unik yang digunakannya.

gantung sekolah

Artikel Sebelum

Pesawat Terbesar Dunia Terhempas

Artikel Berikut

Artikel Lain