suria

Ibu Tak Kenal Anak 'Bertukar' Jadi Model Korea

-foto Let Me In Thailand

SEORANG pekerja kilang dari Thailand mengejutkan ibunya dengan melakukan transformasi penuh selepas menjalani siri pembedahan plastik dalam program 'Let Me In Thailand', sebuah rancangan TV popular di Korea, edisi negara itu.

Noppajit Monlin, 22 tahun, sentiasa ingin mengubah wajah dan penampilannya, kerana rahangnya yang senget menyebabkan dia tidak dapat mengunyah dengan sempurna.

Malu dengan kekurangan dirinya, Monlin sering mengasingkan diri daripada rakan sekerjanya dan selalu makan sendirian pada waktu rehat.

-foto Let Me In Thailand

Dalam program bersiri 'makeover' musim ketiga yang disiarkan pada Ahad, Monlin dipilih untuk menjalani pembedahan plastik di Korea Selatan.

Dalam usaha mendapatkan wajah yang dikehendaki, lelaki Thai itu menjalani pembedahan rahang, dahi dan kelopak mata.

Program itu juga menyaksikan dia diberikan suntikan botox kelenjar air liur, satu prosedur yang digunakan untuk memperbaiki lelehan yang berlebihan serta rawatan kulit untuk menghilangkan kecacatannya.

Selepas semua proses itu selesai, Monlin berjaya menjadi seorang lelaki baharu, dengan fizikalnya sama sekali berbeza dengan dirinya yang lama.

Selesai menjalani proses pemulihan selama tiga bulan, Monlin dijadualkan untuk bertemu ibunya untuk kali pertama di restoran kegemaran mereka.

Malangnya, ibunya tidak mengenali Monlin walaupun anak kandungnya itu berada dekat dengan mejanya.

"Saya sangat merinduinya, ini bukan lakonan," kata ibu Monlin sebelum menangis  di depan kamera menceritakan tentang anaknya.

Ketika Monlin bangun dan berjalan ke arah ibunya, wanita itu mula menagis teresak-esak apabila Monlin memperkenalkan dirinya yang baharu.

"Ibu masih ingat saya? Pandanglah saya," kata Monlin.

"Kamukah ini? Betulkah ini kamu?," tanya ibunya.

Jika anda melihat gambar sebelum dan selepas pembedahan, anda dapat memahami mengapa ibunya sukar mempercayai apa yang berlaku sehinggalah dia terpaksa mencari parut di tangan Monlin untuk mendapatkan pengesahan.

Dalam temubual program itu, Monlin berkata hidupnya telah berubah sepenuhnya terutama dalam suasana sosial.

"Ramai melihat saya sebagai individu yang berbeza. Saya rasa lebih baik. Sebelum ini, orang lihat wajah saya tak normal dan masyarakat tidak menerima saya, kini saya mempunyai lebih ramai kawan," katanya.

Walaupun kelihatan seperti seorang model Korea yang bergaya, Monlin berkata dia masih orang yang sama dan hatinya masih milik Tob, seorang wanita transgender yang ditemui di Facebook dan menjalinkan hubungan dengannya selama tiga tahun.

"Saya menjaganya, tetapi saya tidak takut dia tinggalkan saya. Kami percayai satu sama lain sejak awal perkenalan," kata Tob, 26, dalam program itu.

Tob berkata Monlin segera meminta nombor telefonnya, lima minit selepas mereka mula berhubung di Facebook. Tiga minggu kemudian, mereka tinggal bersama.

"Dia menjaga saya. Walaupun dia bukan seorang wanita sejati, tetapi dia sebenarnya hampir sama. Wanita ini adalah yang terbaik untuk saya," kata Monlin.

"Walaupun saya mempunyai kehidupan baru sekarang, hati saya tetap sama," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain