PESAWAT di seluruh dunia memainkan peranan besar membawa penumpang ke destinasi tertentu pada ketinggian 30,000 kaki, tetapi tidak semua penerbangan mampu memuaskan hati penumpang dari segi pilihan makanan. Penumpang yang cenderung berdepan masalah dalam hal ini adalah kumpulan vegetarian. Seorang penumpang, Steve Hogarty terkejut dengan hidangan vegetarian yang ditempahnya ketika menaiki pesawat dari syarikat penerbangan Colombia Avianca. "Hidangan vegetarian penerbangan ini adalah buah epal dan pear yang dibungkus dalam plastik lutsinar, bersama pisau dan garfu," kata Hogarty, wartawan yang berpangkalan di London. Ternyata dia tidak keseorangan apabila pengguna media sosial turut terkejut melihat hidangan tersebut, lapor The Independent. "Terdapat setengah bilion pengamal vegetarian di dunia. Nampak sedikit terkebelakang apabila mereka semua tidak dianggap 'istimewa',” tulis seorang pengguna. Avianca, dalam satu kenyataan balas berkata makanan yang dihidangkan kepada Hogarty adalah jelas satu kesilapan. Syarikat penerbangan itu meminta Hogarty untuk menghubungi mereka secara persendirian berhubung isu itu. "Ini bukan standard kami, jadi kami pasti akan menyiasat secepat mungkin," kata Avianca. Bagaimanapun, ini bukan kali pertama syarikat penerbangan berdepan isu makanan vegetarian. -fotomusterknabe/Reddit Awal tahun ini, seorang penumpang yang memesan makanan vegetarian dalam penerbangan Aegean Airlines telah diberikan sebuah bekas mengandungi beberapa hirisan saderi, lobak merah dan kapsikum. Pada bulan Mei, penumpang Inggeris yang memesan hidangan bebas gluten dalam penerbangan selama sembilan jam dengan All Nippon Airways milik Jepun telah dihidangkan dengan pisang.