MODEL China, Ming Xi, 28, meluahkan perasaan dan meminta maaf selepas dia terjatuh ketika memperagakan pakaian dalam Victoria's Secret dalam acara yang berlangsung di Shanghai, Isnin. Xi telah meluahkan rasa hatinya di media sosial, sehari selepas insiden tersebut. "Seperti yang anda semua tahu, saya terjatuh ketika berjalan di tahun kelima pertunjukan fesyen Victoria's Secret semalam. Tak dinafikan, ini adalah saat paling sukar yang pernah saya lalui sepanjang karier saya, apatah lagi ia berlangsung di kampung halaman saya, di depan ibu dan menjadi perhatian ramai. "Bagaimanapun sokongan yang saya terima begitu luar biasa dan saya bersyukur dengan mereka yang sentiasa bersama saya. @ed_razek (penerbit eksekutif) terima kasih di atas kata-kata semangat dan sokongan berterusan sepanjang tujuh tahun ini. "@giizeleoliveira terima kasih kerana menolong saya selepas saya jatuh, saya sangat suka dengan apa yang kamu buat. Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang segera menenangkan saya di belakang pentas selepas apa yang berlaku, anda semua ibarat keluarga saya," tulisnya di laman Instagram. Xi terjatuh pada sesi 'Winter's Tale' ketika dia memakai kasut tumit tinggi dengan hiasan hingga lutut dan kain kembang menyentuh lantai. Ketika jatuh, Xi tidak terus bangun kerana hiasan berat di kepalanya membuatkan dia perlu duduk sebentar untuk menyeimbangkan badan. Dia memerlukan masa untuk dapat berjalan seperti biasa dan meneruskan aksinya sehingga ke bahagian tengah pentas. Walaupun berdepan insiden memalukan, Xi masih mampu tersenyum. Model dari Brazil, Gizele Oliveira yang berjalan di belakangnya, sempat berjalan ke arahnya dan menghulurkan bantuan serta sanggup menunggu Xi kembali berjalan. Aksi Xi dan tindakan Oliveira mendapat sorakan dan tepukan gemuruh audiens, sebelum kisah 'bidadari' Victoria's Secret jatuh ini tular. Memetik E!, Oliveira walaupun di pentas Xi nampak tabah dan tersenyum, dia tidak dapat menahan air mata di belakang pentas. "Semua 'bidadari' Victoria's Secret menghiburkannya. "Dia duduk dan berkata dia mempunyai senyuman paling indah dan tak perlu menangis kerana sudah memberikan yang terbaik," katanya. Pihak penganjur juga tidak marah dengan apa yang berlaku. -fotoAFP Melalui posting yang dimuat naik penerbit eksekutif persembahan Edward Razek di Instagram, Ed memuji Xi yang tetap bangun menyelesaikan tugasannya. "Pada malam yang indah dan banyak momen luar biasa, ini mungkin yang paling penting. Ming terjatuh. Gizele berhenti dan membantunya berdiri, menunggu Ming untuk meneruskan runway-nya. Ming, jangan malu kerana terjatuh. Ada kemenangan besar apabila kamu bangun dan menyelesaikan persembahan. Gizele, tindakan ringkas kamu diperhatikan seluruh dunia. Saya sangat bangga dengan kamu berdua," tulisnya. Di akaun Weibo, Xi telah meminta maaf di atas apa yang berlaku. "Saya minta maaf kerana telah mengecewakan ramai orang. Terima kasih atas keprihatinan. Selama tujuh tahun menjadi model, saya telah jatuh beberapa kali, tapi saya sedar betapa sakitnya rasa jatuh itu, saya mesti bangun berdiri dan menyelesaikannya. "Masa depan masih panjang, saya akan tetap terus berjalan sebagai model," tambahnya. Sumber E! berkata insiden jatuh Xi tidak akan disiarkan TV yang dijadualkan ditayangkan pada 28 November ini. Ini merupakan tahun kelima Xi terlibat dalam pertunjukan Victoria's Secret. Sebelum ini dia tampil di London, Paris dan New York. Selain Xi, model lain yang turut meramaikan panggung VS tahun ini seperti Lily Aldridge, Alessandra Ambrosio, Candice Swanepoel, Adriana Lima, Bella Hadid, Devon Windsor, Sara Sampaio dan Elsa Hosk.