suria

Gajah ‘Ong Bak’ Libas Penjaga Sampai Mati

PHLAI Ekasit, seekor gajah popular yang banyak terlibat dalam filem antarabangsa termasuk ‘Ong Bak’ yang dibintangi Tony Jaa telah melibas penjaganya menggunakan belalainya pagi Isnin.

Somsak Riangngern, 55, yang telah mengendalikan gajah berusia 32 tahun itu selama lebih dari satu dekad mati di tempat kejadian.

Menurut saksi, Riangngern tidak melakukan apa-apa selain melakukan tugasnya menyuapkan haiwan jagaannya itu dengan pokok pisang sambil mengajaknya berjalan ke kawasan mandi di zoo Chiang Mai, Thailand sebelum serangan itu berlaku, lapor ThaiPBS.

Tanpa amaran, saksi mendakwa haiwan terkenal itu berpaling dan melibas Riangngern dengan belalainya berkali-kali.

Lelaki itu meninggal dunia serta-merta manakala isterinya, Jampa, hanya mampu melihat.

Kakitangan zoo kemudian berjaya mengawal gajah tersebut tetapi mereka masih tidak pasti apa yang menyebabkan  Phlai mengamuk, tetapi mereka mengesyaki ia disebabkan haiwan itu kepanasan.

Gajah jantan biasanya menjadi lebih agresif apabila mereka aktif mencari pasangan.

Paparan skrin filem Ong Bak. -Youtube

Mayat penjaganya itu akan dibawa ke kampung halamannya di wilayah Surin untuk upacara pengebumian.

Bercakap kepada media, isterinya berkata gajah tersebut biasanya tenang, malah disayangi oleh suaminya dan pelancong yang suka memberi makanan dan mengambil gambar dengannya.

Gajah berkenaan yang sebelum ini telah membuat persembahan di zoo, tidak akan terlibat dalam sebarang pertunjukan sehingga ia dinilai oleh doktor haiwan.

Ong Bak, gajah, Tony Jaa

Artikel Berikut

Artikel Lain