PERSEKUTUAN Kabaddi Iran, sejenis sukan popular yang dipertandingkan di Sukan Asia membantah tindakan seorang jurulatih Thailand selepas dia dilaporkan cuba 'menjadi wanita' untuk menyelinap masuk dan menonton perlawanan itu yang hanya melibatkan peserta perempuan. Gambar-gambar lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu tersebar di media sosial, menunjukkan dia menutup kepalanya dan memakai tudung di sebuah stadium di Gorgan yang terletak di utara Iran. Dia dilihat memakai tudung hitam dan membalut tuala putih di kepalanya. Terdapat laporan menyatakan bahawa dia telah diarahkan untuk meninggalkan lokasi sebelum berjaya menyelinap masuk sekali lagi. Paparan skrin Twitter Hadi Nili Stadium ini menjadi tuan rumah Kejohanan Kabaddi Asia, sejenis sukan lasak ala gusti-ragbi yang berasal dari benua India. Media Iran mengenal pasti lelaki itu, yang memakai pakaian sukan Thailand, sebagai jurulatih pasukan negara tersebut. Dalam satu kenyataan, persekutuan Iran berkata insiden itu 'tidak sepatutnya berlaku' dan lelaki itu 'melanggar peraturan negara tuan rumah'. Iran melarang kaum lelaki dan pihak media menghadiri acara sukan wanita, di mana terdapat undang-undang ketat untuk wanita di negara itu berhijab di tempat-tempat awam. Seorang jurucakap persekutuan Kabaddi Iran, Abuzar Markalai, memberitahu laman web Jam-e Jam bahawa jurulatih Thai itu harus meminta maaf atas sikapnya yang tidak menghormati wanita. Khabar angin tersebar di media sosial pada hari Rabu bahawa jurulatih itu sebenarnya telah diarahkan untuk memakai tudung, tetapi dakwaan ini ditolak oleh Markalai.