PATTANI: Banjir yang melanda wilayah Pattani telah melumpuhkan 80 peratus daripada pusat perdagangan utamanya dan mengakibatkan golongan peniaga menanggung kerugian yang besar akibat bencana itu. Datuk Bandar Pattani Piktak Kokiart berkata air banjir setinggi 50cm mula memasuki pusat perdagangan utama bandar itu sejak pagi Jumaat, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Bencana banjir di Pattani itu telah mengakibatkan 500 kampung, 18,116 keluarga dengan 32,400 orang terjejas serta menyebabkan 58 buah sekolah ditutup. Empat orang meninggal dunia di wilayah itu akibat banjir. Bencana banjir di selatan Thailand sehingga Jumaat telah mengorbankan 12 nyawa. Sementara itu, Gabenor Pattani Wiranan Penjang berkata enam daerah paling buruk dilanda banjir di wilayah itu adalah Nongchik, Mae-lan, Yarang, Khokpo, Yaring dan Muang. - Bernama