MANADO: Tahanan PBB bukan sekadar status, malahan ia adalah nama yang diberikan kepada remaja lelaki yang kini berusia 14 tahun. Beliau adalah anak kepada pasangan imigran berasal dari Afganistan yang ditahan di pusat tahanan Rumah Detensi Imigran (Rudenim) Manado. Tahanan PBB berkata, bapanya memberikan nama ini yang membawa maksud Perserikatan (kesatuan) Bangsa-Bangsa sewaktu dia dilahirkan di pusat tahanan berkenaan pada 31 Ogos 2003. Ibu bapa Tahanan PBB ditahan di pusat tahanan ini bersama 139 lagi imigran lain. Selain Afganistan, tahanan lain berasal dari Sudan, Eritrea, Ethiopia, Somalia, Pakistan, Suriah dan Myanmar. Kebanyakan daripada mereka adalah pencari suaka. Tahanan PBB yang fasih berbahasa Indonesia dengan dialek Manado ini mempunyai seorang adik yang juga mempunyai nama sepertinya iaitu Tahanan PBB Nomor Dua. “Dia pun lahir dalam penjara, saya macam saya,” ujarnya kepada kompas.com. Tahanan PBB berkata, mahu menjadi askar apabila tamat pengajiannya nanti. “Walaupun tidak tahu bagaimana, tapi, saya harap suatu hari nanti ada keadilan untuk saya," katanya lagi.