TIGA belas orang dipercayai maut, manakala dua lagi hilang selepas sebuah bot nelayan bertembung dengan kapal tangki di perairan barat Korea Selatan awal pagi Ahad. Bot nelayan itu membawa 20 penumpang yang menyertai aktiviti memancing bersama dua petugas apabila ia bertembung dengan kapal tangki yang membawa muatan 336 tan minyak kira-kira pukul 6 pagi berhampiran bandar pelabuhan Incheon. Semua 13 mayat mangsa dibawa ke hospital, manakala tujuh lagi menerima rawatan dan dua lagi termasuk kapten bot masih hilang, demikian menurut pihak pengawal pantai. Bagaimanapun, semua yang berada di kapal tangki tidak mengalami sebarang kecederaan. Semua penumpang bot memakai jaket keselamatan, bagaimanapun majoriti telah mengalami hipotermia, kata agensi berita Seoul, Yonhap.