JANGAN terkejut, sebenarnya sudah 25 tahun sejak mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dikirim menggunakan telefon bimbit. Ini bermakna teknologi yang dibangunkan untuk bertukar-tukar mesej itu telah bermula suku abad yang lalu. Sambutan ulang tahun ke-25 SMS yang bertulis: "Merry Christmas" telah disambut pada Ahad. Ia ditaip oleh jurutera yang mengkaji sistem itu, Neil Papworth pada 1992. Dia berusia 22 tahun ketika itu. SMS itu telah dikirim kepada rakannya menggunakan komputer sebagai ucapan sempena sambutan perayaan itu. "Saya sendiri tidak tahu sama ada ia akan menjadi sesuatu yang begitu besar," kata Papworth.