TOKYO: Kira-kira 60 peratus wanita bujang di Jepun enggan memulakan hubungan cinta, disebabkan beban kerja yang semakin meningkat, lapor The Japan Times, memetik tinjauan cocoloni.jp, sebuah agensi khidmat nasihat dalam talian. Agensi berita Xinhua melaporkan, golongan wanita di negara itu sekarang, berdepan beban kerja sama seperti kaum lelaki, faktor penat menjadikan wanita lebih memilih untuk berehat sambil menonton drama lipur lara, selepas waktu bekerja daripada pergi berdating. Cinta di pejabat tidak lagi menarik dan janji temu dengan seseorang yang tidak dikenali, dianggap sebagai satu tekanan dan membosankan, kerana jarang mendatangkan hasil memuaskan. Hasil tinjauan juga mendapati, satu daripada empat wanita mengakui seringkali tertidur semasa berdating disebabkan keletihan. Satu lagi laman web temu janji dalam talian, Lovely Media berkata, semakin ramai wanita enggan pergi janji temu kerana beranggapan ia sesuatu yang membuang masa. Menurut The Japan Times, jika mengimbau pada 1980-an, lebih 60 peratus golongan muda berusia 20-an di Jepun sudah menjalinkan hubungan, sedangkan pada hari ini kumpulan itu menjadi minoriti. "Waktu kerja lebih pendek, jaminan cuti bersalin serta paterniti, dan pengurangan suasana yang tidak berapa memberangsangkan, dilihat masih jauh untuk membantu wanita lebih memikirkan soal cinta," kata laporan itu. - BERNAMA