BEKAS pekerja Tesco dari Hampshire dinobatkan selaku personaliti YouTube terkaya di dunia. Menurut Forbes, Dan Middleton, 26, memperoleh pendapatan kira-kira 12.3 juta pound sterling daripada salurannya pada 2017. Lebih dikenali sebagai DanTDM di kalangan peminatnya, dia memuatnaik video dirinya bermain permainan komputer selain menawarkan tip-tip tertentu. Medium perkongsian video itu menawarkan kira-kira 68 peratus keuntungan pengiklanan kepada personaliti YouTube 'profesional'. Dengan mempunyai seramai 16 juta pengikut, ini bermakna video Dan mencatat keuntungan tertinggi. Terbaharu, dia turut membuat persembahan secara langsung semasa siri jelajah di Sydney Opera House. Dan mula memuatnaik videonya bermain permainan Pokemon di YouTube semasa di universiti. Kini dia dikenali sebagai pakar dalam Minecraft, permainan pembinaan dunia 3D. Ditanya mengenai kejayaannya, Dan berkata ia sesuatu yang diluar jangkaannya. "Ia sesuatu yang saya pelajari sedikit demi sedikit dalam tempoh tiga atau empat tahun lalu. Dalam lima tahun lalu, YouTube telah berkembang. Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar personaliti YouTube sebelum ini," katanya. Secara keseluruhannya, videonya ditonton lebih 10 bilion kali.