suria

Tarikh Kahwin Putera Harry Bertembung Final Piala FA?

Putera Harry (kanan) dan tunangnya, Meghan Markle bakal berkahwin pada 19 Mei depan.

BERITA gembira mengenai Putera Harry dan tunangnya, Meghan Markle akan berkahwin pada 19 Mei depan mengejutkan para penyokong bola sepak di United Kingdom.

Reaksi yang berbeza itu berikutan perkahwinan diraja tersebut dijadual berlangsung pada hari yang sama dengan perlawanan akhir Piala FA.

Cucu kepada Ratu Elizabeth yang mengumumkan pertunangan mereka pada bulan lalu akan mengadakan majlis perkahwinan di Gereja St George, Istana Windsor di Berkshire.

Bagaimanapun, enam bulan lalu telah diumumkan bahawa perlawanan akhir Piala FA 2017/18 akan diadakan pada 19 Mei depan.

Antara reaksi penyokong bola sepak mengenai tarikh majlis perkahwinan Putera Harry.

Lokasi perlawanan itu dibuat di Stadium Wembley di barat laut London.

Kedua-dua waktu majlis perkahwinan dan perlawanan akhir Piala FA masih belum diumumkan, tetapi berdasarkan saingan akhir musim lepas antara Arsenal dan Chelsea pada Mei tahun lalu, ia bermula pada pukul 5.30 petang.

Sebagai presiden persatuan bola sepak, abang Putera Harry iaitu Duke of Cambridge kebiasaannya akan hadir ke perlawanan berprofil tinggi dan menyampaikan trofi.

Namun tahun ini, Putera William dikatakan menjadi pengapit kepada Putera Harry, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan sebenar pewaris takhta Britain pada hari berkenaan.

Para penyokong bola sepak dan pengguna Twitter mempertikaikan mengenai kedua-dua acara besar itu yang bakal berlangsung pada hari yang sama. - Mail Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain