GARA-gara bergambar swafoto bersama ratu cantik Miss Israel, keluarga Miss Iraq terpaksa meninggalkan negara itu susulan kemarahan di Baghdad. Gambar tersebut menunjukkan Miss Iraq, Sarah Idan bersama dengan Adar Gandelsman dari Israel yang mewakili negara masing-masing pada pertandingan ratu cantik Miss Universe di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini. Gambar swafoto dimuat naik di akaun Instagram Idan dengan rujukan sebagai mempromosikan 'kedamaian dan cinta'. Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kekecohan di media sosial. Imej tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga memaksa keluarga Idan ke luar negara dalam ketakutan, menurut Gandelsman kepada Israeli TV. Beliau berkata, ramai yang mengancam dia dan keluarganya bahawa sekiranya dia tidak pulang ke rumah dan memadamkan gambar tersebut, mereka akan menarik balik gelaran Miss Iraq. Malah mereka mendakwa akan membunuhnya. "Dalam ketakutan, mereka meninggalkan Iraq sekurang-kurangnya sehingga keadaan kembali tenang," katanya, menurut Times of Israel. Gandelsman berkata, Idan yang kini menetap di AS memutuskan untuk memuat naik gambar tersebut bagi menunjukkan 'kemungkinan untuk hidup bersama'. Gambar tersebut mendapat reaksi negatif dalam kalangan netizen di negara yang tidak mengiktiraf Israel kerana konflik perang. - Mail Online