BRUSSELS: Perkhidmatan telegram di sini bakal menemui titik noktah dalam tempoh beberapa hari saja lagi. Selama 171 tahun sejak mesej eletronik pertama dihantar, telegram bakal digunakan buat kali terakhir pada 29 Disember ini sebelum 'hilang' buat selama-lamanya lapor BBC. Agak unik apabila teknologi abad ke 19 ini masih lagi digunakan memandangkan orang ramai sudah mula berpindah kepada perkara baru seperti Instagram, Snapchat dan Whatsapp. Lebih-lebih lagi, negara yang mencipta telegram, iaitu United Kingdom telah meninggalkannya sejak tahun 1982. Amerika Syarikat menyusul pada tahun 2006 malah India yang pernah menjadi negara paling banyak menggunakan telegram turut menutup sistemnya pada 2013. Hanya 10 perniagaan dan segelintir individu telah memelihara sistem membuatkan ia terus digunakan terutamanya pegawai undang-undang yang memerlukan sistem jaminan yang boleh mengesaghkan penghantaran dan penerimaan. Bagaimanapun, kos yang sedikit mahal menyaksikan sistem tersebut bagaikan telur di hujung tanduk apatah lagi dengan kehadiran teks pesanan ringkas yang jauh lebih murah kosnya. Sistem yang mahal serta insentif buruh untuk memulakannya membuatkan ia ketinggalan berbanding dengan teknologi lain yang makin memudahkan orang ramai. Namun begitu, walaupun sistem telegram mati, ia kekal sebagai sebahagian daripada budaya popular satu ketika dahulu.