DUA wanita maut dan 17 lagi cedera selepas sebuah balkoni runtuh pada parti Krismas di Melbourne. Pasukan kecemasan menerima panggilan berhubung kejadian pada kira-kira pukul 10.30 malam Sabtu (7.30 malam Sabtu waktu Malaysia). Dilaporkan sekumpulan hadirin sedang mengambil gambar ketika runtuhan berlaku di balkoni. Seorang wanita berumur 59 tahun maut di tempat kejadian dan seorang lagi berumur 37 tahun disahkan meninggal dunia di hospital. Menurut laporan Nine News Australia, mereka yang cedera terdiri daripada 10 wanita dan tujuh lelaki, berumur antara 20 dan 69 tahun. Beberapa objek berat termasuk kelengkapan barbeku dan sebuah peti sejuk didirikan di balkoni. Memetik laporan Perth Now, Konstabel Melissa Seach dalam satu kenyataan berkata, pasukan kecemasan bergegas ke sebuah rumah di Balinga Court di Doncaster East pada kira-kira 10.30 malam. Beliau menambah: "Dipercayai lebih 30 orang berdiri di balkoni ketika runtuhan berlaku. "Polis sedang menyiasat mengenai punca kejadian," katanya. - mirror.co.uk