SYDNEY: Seorang lelaki ditahan atas dakwaan mengatur penjualan senjata dari Korea Utara kepada entiti antarabangsa. Menurut laporan CNN, Chan Han Choi yang berasal dari Korea Selatan dituduh cuba menjual misil, komponen misil dan kepakaran tentera dari Korea Utara. Han Choi juga didakwa terlibat dalam perbincangan mengenai senjata pemusnah (WMD). Selain itu, polis mengatakan suspek merancang untuk mengeksport arang batu dari Korea Utara ke Vietnam dan Indonesia. Kes tersebut merupakan yang pertama di Australia dan suspek kini berhadapan dengan enam dakwaan jenayah berat. Polis mula menyiasat tindak tanduk Han Choi berdasarkan maklumat dari sebuah agensi antarabangsa. Timbalan Ketua Polis Australia, Neil Gaughan mengatakan Han Choi umpama 'ejen setia Korea Utara' yang kononnya percaya sedang 'berkhidmat untuk kebaikan bersama'.