SEORANG wanita berkulit hitam mempertikaikan bayi yang dilahirkan kepada bidannya kerana sangat terkejut melihat bayi tersebut berkulit putih. Sophia Blake terkejut apabila anak perempuannya, Tiara bukan sahaja dilahirkan berkulit putih tetapi juga dengan mata berwarna biru, sedangkan keluarganya berasal dari Jamaica. Bapa Tiara, Christopher Perkins, 60, bagaimanapun berkulit putih. Blake menyangka anak perempuan mereka akan mempunyai ciri-ciri gabungan dia dan suaminya. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Blake juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Donchae berusia 17 tahun, dari hubungannya sebelum ini yang berkulit hitam. Ini menyebabkan ramai orang tidak percaya Tiara adalah anak kandungnya dan ia telah menimbulkan masalah apabila guru dan doktor juga keliru. Tiara ketika masih bayi. -fotoFeatureworld/metroUK Eksekutif pemasaran, dari Selly Oak, Birmingham ini memberitahu Mail Online: “Tak mudah untuk mereka percaya Tiara adalah anak saya kerana dia sangat berbeza. “Kadang-kadang dia sendiri bertanya kenapa kami tak ada persamaan? Saya menjelaskan dia adalah kacukan tetapi ia sangat membingungkan dirinya.” Doktor berkata keadaan Tiara yang dilahirkan berkulit putih berlaku satu dalam sejuta kerana gen putih yang aktif dalam keluarganya. Blake berkata kulit keluarganya yang ‘sangat gelap’ telah membuatkan dia terkejut bagaimana dia boleh melahirkan anak perempuan berkulit putih tanpa ada sedikit pun ciri keturunannya yang berkulit hitam. Dia mengakui ada ibu bapa yang menganggap Tiara adalah anak angkatnya dan pihak hospital baru-baru ini terpaksa memeriksa sama ada Blake adalah pekerja sosial atau penjaga kepada Tiara. Blake kini memutuskan untuk bersuara bagi meningkatkan kesedaran bahawa kanak-kanak berbangsa campuran berkemungkinan dilahirkan dengan satu warna kulit sahaja iaitu putih atau hitam. Dia sangat bangga dengan kecantikan Tiara dan memberitahu apabila sesiapa sahaja mengenali mereka berdua, mereka akan mendapati persamaan antara ibu dan anak ini. -metroUK