MUMBAI: Khushboo Mehta disahkan antara 14 mangsa yang terkorban dalam kebakaran di kompleks Kamala Mills, di sini. Namun, apa yang menyedihkan adalah gadis ini maut ketika diraikan pada majlis hari lahirnya yang ke-29. Ditakdirkan kebakaran yang berlaku selepas tengah malam itu berlaku di restoran di mana majlis itu berlangsung dan api yang marak itu hanya dapat dikawal sekitar pukul 6.30 pagi Jumaat. Sementara itu, lima pegawai Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai digantung tugas susulan tragedi kebakaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa dan ramai lagi yang cedera ketika melarikan diri keluar dari bangunan itu. Kejadian di kompleks komersial Kamala Mills itu juga mengakibatkan penolong pesuruhjaya agensi berkenaan telah diarahkan berpindah. India Today difahamkan, kejadian itu berlaku akibat adanya pencabulan daripada segi tugas dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan itu. Antaranya kerana peralatan mencegah kebakaran tidak berfungsi dan kakitangan yang tidak dilatih untuk berdepan situasi kecemasan termasuk kebakaran. Setakat ini, pemilik dan pengurus premis terlibat iaitu sebuah restoran di mana majlis hari lahir diadakan ketika kejadian itu berlaku masih gagal dikesan. Kedua-dua individu terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan. Kompleks berkenaan juga menempatkan beberapa pejabat syarikat korporat dan media tempatan. Hingga kini, empat saluran televisyen terganggu akibat kejadian itu.