LIMA: Sekurang-kurangnya 36 maut apabila bas yang dinaiki bertembung dengan sebuah trak sebelum terjunam kira-kira 100 meter ke dalam gaung di lebuh raya di sini, petang Selasa. Kejadian berlaku di lebuh raya pesisiran pantai, Panamericana Norte, kira-kira 45 kilometer di utara Lima. Ketua polis bahagian rondaan lebuh raya, Kolonel Dino Escudero mengakui ia laluan yang berbahaya kerana tebingnya curam. "Anggota polis dan bomba kini bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa di lokasi kejadian. "Kami percaya jumlah kematian dijangka meningkat," katanya. Ketika kejadian, bas yang membawa 53 penumpang itu dipercayai dalam perjalanan dari Huacho kira-kira 130 kilometer di utara ibu negara, Peru itu, menuju ke Lima.- Reuters