PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS) melarang kakitangannya menggunakan telefon bimbit peribadi ketika bekerja walaupun ada dalam kalangan pekerja bimbang tidak dapat berhubung dengan keluarga. Berkuatkuasa 5 Januari ini, kakitangan pentadbiran Donald Trump di Rumah Putih tidak dibenarkan membawa telefon bimbit peribadi ke tempat kerja. Ketua Staf John Kelly yang melaksanakan larangan itu memaklumkan ia melibatkan hal keselamatan. Trump berulang kali mengadu mengenai kebocoran maklumat kepada pihak media sejak memegang jawatan utama negara itu, namun perkara itu dinafikan. Seorang pegawai Rumah Putih berkata, terlalu banyak alat komunikasi tanpa wayar di situ dan ia menyebabkan telefon peribadi tidak lagi selamat untuk kerajaan Persekutuan. Selain itu, kakitangan Rumah Putih juga tidak dibenarkan menggunakan telefon di pejabat untuk tujuan peribadi. Pegawai di pejabat itu juga bimbang larangan itu akan menimbulkan masalah kerana mereka juga tidak dapat menghantar mesej kepada ahli keluarga terutama ketika sibuk bekerja.- Bloomberg