suria

Ryan Giggs Permurah

LEGENDA bola sepak, Ryan Giggs telah mendermakan £5,000 bagi membiayai kos pengebumian empat kanak-kanak yang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah baru-baru ini.

Bekas pemain Manchester United itu juga mengirim DVD yang ditandatanganinya, foto dan tiket perlawanan untuk dilelong bagi mendapatkan lebih banyak wang tunai.

Perlakuan murni dan sifat murah hati ahli sukan itu didedahkan menerusi posting laman Facebook Dana Keluarga Pearson.

Pada 11 Disember lalu, Demi Pearson, 15 dan adik-adiknya masing-masing Brandon, 8; Lacie, 7 dan Lia yang berusia tiga tahun terkorban dalam kebakaran rumah di Walkden, Greater Manchester.

Ketika ini, ibu kanak-kanak malang itu, Michelle Pearson, 35, masih dalam keadaan kritikal dan koma, malahan tidak maklum mengenai kematian empat anaknya.

Dana diwujudkan abang Michelle bagi mengumpul wang untuk menguruskan pengebumian anak saudaranya.

Setakat ini, dana yang mensasarkan £15,000, telah dapat mengumpul hampir £22,500.

Baru-baru ini, tiga suspek telah dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki bertanggungjawab mengakibatkan kematian kanak-kanak terlibat.

Suspek dikenali sebagai Zak Bolland, 23; Courtney Brierley, 20 dan David Worrall, 25.

Giggs, Pearson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain