suria

‘Kuasa' Tular, Pelarian Syria Dapat Keahlian Gym Seumur Hidup

SEORANG kanak-kanak pelarian Syria telah diberikan keahlian seumur hidup di sebuah gym di tempatannya selepas gambarnya sedang merenung peralatan kecergasan di cermin kaca tular.

Gambar Mohammed Khaled, 12, yang bekerja sebagai penggilap kasut di wilayah Adiyaman, Turki selatan, sambil menggalas bangku kecil telah dirakam  di luar pusat kecergasan.

Selepas gambar itu tersebar di media sosial di Turki, pemilik gym, Engin Dogan telah menjejaki budak lelaki itu dan menawarkan akses penuh kemudahan miliknya.

Bercakap kepada Hurriyet News, Dogan berkata: "Seorang budak lelaki melihat melalui tingkap gym, dengan hanya memakai sandal pada musim sejuk sambil membawa beg galasnya.

"Matlamat kami adalah mencarinya dan menawarkan keahlian seumur di sini. Dan, kami berjaya melakukannya.

"Dia adalah salah seorang ahli kami sekarang."

Khaled kemudian dirakamkan bersenam di gym dan memberitahu agensi berita Turki, Anadolu, bahawa dia gembira dengan peluang itu.

"Dia berjumpa saya dan membantu saya," kata Khaled.

"Saya selalu bermimpi untuk menurunkan berat badan dan sekarang saya percaya saya dapat melakukannya dengan bersenam di gym."

Mustafa Kucukkaya, salah seorang pemilik gym, memberitahu akhbar Turki, Sabah: "Ia sangat memberikan kesan kepada saya kerana sebelum ini kami juga tidak mempunyai apa-apa dan zaman kami tiada gym.

"Orang Turki sangat sensitif mengenai isu ini, saya sangat tersentuh, saya fikir kami telah melakukan sesuatu yang sangat baik."

Pemilik gym ini telah dipuji di media sosial atas keprihatinan mereka.

Seorang pengguna menulis di Instagram: "Terus memberi inspirasi kepada dunia. Setiap kebaikan pasti ada balasannya."

Sekitar 3.3 juta pelarian Syria didaftarkan untuk tinggal di Turki, menurut Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. -IndependentUK

gym, pelarian Syria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain