MASERU: Sebutir berlian, yang dianggap sebagai batu permata berkualiti kelima terbesar pernah dilombong, telah ditemui di Lesotho dan nilainya mampu mencecah AS$40 juta, kata sebuah syarikat perlombongan. Gem Diamonds telah menemui berlian dengan jejak warna paling sedikit iaitu D pada skala GIA (Gemological Institute of Amerika) itu di lombong Letseng, yang terletak di selatan negara Afrika dan dikelilingi daratan, menggambarkan batu permata seberat 910 karat tersebut sebagai 'memiliki kualiti luar biasa'. "Sejak Gem Diamonds memperoleh Letseng pada 2006, lombong itu telah menghasilkan beberapa butir berlian yang mengagumkan dunia, termasuk Lesotho Promise seberat 603 karat," kata Ketua Eksekutif Gem Diamonds, Clifford Elphick, dalam satu kenyataan. "Bagaimanapun, berlian berkualiti tinggi yang amat luar biasa ini adalah yang terbesar pernah dilombong setakat ini... Ini adalah satu penemuan bersejarah." Ben Davis, seorang penganalisis perlombongan di Liberum Capital, meramalkan dalam satu nota penyelidikan kepada para pelabur bahawa nilai berlian itu mampu mencecah AS$40 juta (33 juta euro). -Bernama