SELEPAS empat hari melakukan carian, polis di Depok, Jawa Barat, akhirnya mengenal pasti dan menahan seorang lelaki yang disyaki meraba payudara seorang wanita sebelum memecut motosikal yang ditunggangnya, dalam satu rakaman video yang tular minggu lalu. Polis berkata, suspek, yang dikenal pasti sebagai 'I', 29 tahun, ditangkap malam tadi, sambil ibu bapanya turut kelihatan apabila dia dibawa ke balai polis untuk soal siasat. Suspek mengaku telah meraba payudara wanita itu seperti yang tersiar dalam video tersebut, tetapi pihak polis sedang menyoal untuk mengetahui berapa ramai wanita yang telah menjadi mangsanya. "Suspek tidak kenal mangsa. Dia memilih mangsa secara rawak. Apabila melakukankannya, suspek memakai seragam teksi motosikal," kata Ketua Unit Penyiasatan Jenayah Polis Kota Depok, Putu Kholis Aryana memetik Okezone malam tadi. ARTIKEL BERKAITAN & VIDEO: Tular Video 'Pandu Lalu' Raba Payudara Suspek telah didakwa berkelakuan tidak senonoh di bawah KUHP (Kanun Jenayah), yang boleh dihukum sehingga 2 tahun dan 8 bulan penjara. Mangsa, yang dikenal pasti sebagai Amanda (22), sedang berjalan bersendirian di sebuah jalan sempit di Depok Khamis lalu. Suspek datang dari arah belakangnya dan meraba payudaranya sebelum melarikan diri. "Saya hanya mampu menjerit, badan saya menggigil dan saya menangis. Pada masa itu tidak ada orang lain," kata Amanda kepada Okezone. "Saya hanya boleh mengucapkan syukur apabila polis dengan cepat menangkap suspek. Saya tidak sabar untuk bertemu suspek esok. Dengan penangkapan suspek, sekurang-kurangnya pengalaman pahit saya tidak akan menimpa orang lain. "Sekiranya mahu berdamai (menarik laporan selepas permohonan maaf), saya tidak akan menerimanya. Undang-undang adalah undang-undang."