DUA pulau di Indonesia telah disenarikan untuk dijual menerusi laman web hartanah international, privateislandonline.com yang diuruskan syarikat berpangkalan di Ontario, Kanada. Private Island Inc yang memiliki kepakaran berkaitan hartanah di pulau kini mempromosi jualan untuk Pulau Ajab di wilayah Kepulauan Riau dan Pulau Tojo Una Una di Sulawesi Tengah. Menurut laman web itu, Pulau Ajab hanya 20 minit perjalanan dengan bot ke destinasi percutian, Pulau Bintan dan ia ditawarkan pada harga AS$3.3 juta (Rp44 bilion) dengan status pegangan bebas. Pulau dengan pasir pantainya yang memutih dan tidak dibangunkan itu berkeluasan 30 hektar. "Walaupun Pulau Ajab tidak dibangunkan, kebenaran diberikan untuk perancangan bagi membangunkannya," demikian catatan pada laman web itu. Sementara itu, Pulau Tojo Una Una pula hanya 10 minit dari pulau terdekat, Wakai. Bagaimanapun ia berstatus pegangan pajakan. Bagi pulau yang berkeluasan 1,200 hektar ini, ia juga tidak bangunkan dan dikelilingi terumbu karang serta air jernih yang sesuai untuk kegiatan skuba dan menyelam. "Ia wujud lebih 120 tahun dan kedudukannya di pedalaman tetapi masih boleh dihubungi sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan," menurut laman web itu.-TheJakartaPost