HASRAT pasangan yang baru berkahwin untuk mendapatkan gambar bulan madu luar biasa berakhir dengan bencana apabila gelombang besar menghempas mereka ke batuan. Ryan dan Marelize pergi ke sebuah pantai di Afrika Selatan, pada 4 Januari dengan mendaki kawasan berbatu untuk merakamkan gambar mereka sedang berdiri berlatar belakangkan ombak besar dan tinggi, lapor The Sun. Mereka kemudian menyedari bahawa rancangan tersebut terlalu berbahaya dan mula mencari tempat lain yang difikirkan lebih selamat. Walau bagaimanapun, apabila tiba di satu lokasi yang dirasakan selamat, gelombang besar menghempas belakang mereka, menyebabkan mereka tercampak di atas batu. Dreyer mengalami kecederaan apabila kakinya tersekat di antara dua batu, menyebabkan ia terkehel dan patah. "Kami melihat gelombang seterusnya datang dan cuba bersiap sedia untuk bergambar, tetapi gelombang itu menghentam kami," kata Dreyer kepada The Sun. "Tiba-tiba kami rasa seperti berada di bawah air, gelombang itu benar-benar tidak diduga, kami hanya terdampar di sana dan seterusnya kami sudah berada di bawah air." Selepas menyedari Dreyer cedera, Ryan bersama seorang lagi rakan memberikan pertolongan cemas sebelum dia di bawa ke hospital. Dreyer menjalani pembedahan di Hospital Worcester di Cape Barat, Afrika Selatan, yang mana plat dan beberapa skru ditanam di kakinya.