suria

Jokowi Beli Motosikal Chopper Emas

Motor berwarna emas yang dihantar oleh Elders Garage menggunakan lori. Gambar diambil dari posting Insta Story Elders Company. -fotoIGelderscompany/detikcom

HEBOH Presiden Indonesia Joko Widodo membeli sebuah motosikal model chopper warna emas yang telah diubah suai oleh anak tempatan pada harga Rp140 juta (RM41,400).

Apa alasan Jokowi membeli motor tersebut?


Pegawai media dan protokolnya, Bey Machmudin berkata alasan utama Jokowi membeli motosikal kustom tersebut adalah untuk menaikkan nilai barangan hasil kerja tangan oleh anak tempatan, lapor Detik.

"Untuk meningkatkan 'brand value' anak bangsa. Bukan baru sekarang Presiden menyokong hasil anak bangsa, seperti menikmati kopi di Sejiwa Coffee, Bandung, atau minum kopi di Aming Coffee, Pontianak," kata Bey di kompleks istana presiden di Bogor, Sabtu.

Motosikal tersebut dihantar di kediaman Jokowi itu pagi Sabtu.

Motosikal chopper emas yang dibeli Jokowi. -fotoIGelderscompany

Selain itu, menurut Bey, Jokowi melihat produk yang dihasilkan rakyatnya ini berpotensi untuk dieksport ke luar negara.

Dia yakin produk ini mampu bersaing dengan produk seumpamanya yang dihasilkan luar negara.

"Presiden melihat ada potensi eksport. Jadi presiden memberi sokongan ke arah itu," kata Bey.

Motosikal tersebut dibeli Jokowi dari bengkel kustom Elders Garage, di Lebak Bulus, Jakarta Selatan.

Jokowi membayar sebanyak Rp140 juta, menggunakan duitnya sendiri, tetapi dilaporkan harga itu diperolehi setelah meminta harga asalnya Rp150 juta (RM44,400) dikurangkan.

"Dari wang peribadi," kata Bey, memetik Detik.

Sebelum diserahkan kepada Jokowi, motosikal dengan kapasiti enjin 350 cc tersebut telah dipamerkan di banyak tempat, termasuk di Jepun.

Jokowi mula berminat dengan motosikal tersebut selepas melihat ia dipamerkan pada acara Sumpah Pemuda di Istana Bogor, 28 Oktober 2017.

Jokowi sempat menunggang salah sebuah motor yang dipamerkan sebelum tertarik dan menyatakan keinginan untuk membeli motor itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain