PRESIDEN Joko Widodo kini melangkah setapak lagi apabila mulai mendapat perhatian ramai menerusi video aktivitinya yang dimuat naik menerusi saluran YouTube. Sebagai bloger video (vloger), presiden Indonesia yang lebih mesra disapa Jokowi itu telah mendokumentasikan perjalanannya melawat beberapa pulau di negara itu. Menerusi video itu, sesiapa yang berhasrat meninjau ke destinasi sama boleh menyaksikan rakaman yang dibuat Jokowi seperti mana yang telah dikumpul Tempo.co. Vlog bertajuk #JKWVLOG Bali Aman, Jokowi membawa sesiapa yang menontonnya menyaksikan suasana sekitar Pantai Kuta di Bali. "Tengah hari ini, saya di Pulau Sejuta Dewa, Bali," kata presiden itu sambil menambah pulau itu adalah destinasi percutian yang selamat. Video itu juga menampilkan Setiausaha Kabinet, Pramono Anung; Setiausaha Negeri, Praktikno; Menteri Perumahan dan Kerja Raya, Basuki Hadimuljono; Menteri Pelancongan, Arief Yahya, bekas ketua petugas presiden, Teten Masduki dan Gabenor Bali, Made Mangku Pastika. Selain memaparkan keindahan pantai itu, video yang dihasilkan itu juga merakam saat ketika presiden bersantai bersama barisan menteri yang hadir sambil menikmati kopi di Warung Made's. Pada 26 Disember lalu, saluran YouTube rasmi Jokowi memuat naik vlog bertajuk #JKWVLOG Menjelajah Raja Ampat. Video ini membongkar keindahan pantai pasir putih Raja Ampat dengan air lautnya yang membiru dan jernih. Menerusi video ini, Jokowi berkongsi pemandangan menarik sekitar Raja Ampat yang membuatkan beliau berhasrat mengunjunginya sekali lagi. Presiden Indonesia itu juga mempromosi pemandangan indah dasar laut di Raja Ampat. Bagaimanapun beliau mengakui tidak dapat melakukan aktiviti menyelam di pulau itu dan berhasrat melakukannya apabila berkunjung ke sana sekali lagi. Turut mendapat perhatian Jokowi adalah Pantai Mandalika di Lombok Tengah menerusi video bertarikh 20 Oktober 2017. Rakaman bertajuk #JKWVLOG Indahnya Mandalika itu mengetengahkan keindahan pantai itu ketika beliau melawatnya bersama Gabenor Nusa Tengara Barat, Zainul Majdi. Vlog itu diakhiri dengan Jokowi mencatatkan mengenai destinasi menarik untuk dilawati pelancong dan Indonesia bukan sahaja mempunyai Bali, malah juga Mandalika.