suria

Tweet 'Anti-Israel', Model Berhijab L'Oreal Tarik Diri

Amena Khan. -foto L'Oreal

MODEL berhijab pertama L'Oreal menarik diri dari kempen terbarunya selepas terlibat dengan tweet 'anti-Israel'.

Amena Khan, seorang blogger kecantikan British, menyiarkan posting di Instagram tentang pengundurannya kurang dari seminggu selepas diumumkan terlibat dengan kempen tersebut, disebabkan 'perbualan semasa' tentang tweet yang pernah dibuat olehnya.

Ia muncul selepas dia menulis tweet pada tahun 2014 yang telah dilabel sebagai 'anti-Israel' dan diterbitkan di MailOnline.

Tweet tersebut yang menyifatkan Israel sebagai 'haram' dan 'negara jahat' kini telah dipadam.

Khan pada 14 Januari mengumumkan bahawa dia sangat bangga menjadi sebahagian daripada individu yang terlibat secara langsung dalam kempen baharu ini.

-foto L'Oreal

Dalam posting Instagramnya, dia menulis: "Saya sangat kesal dengan kandungan tweet yang dibuat pada 2014 dan dengan ikhlas memohon maaf kerana ia menyinggung dan menimbulkan kekesalan.

"Mengangkat kepelbagaian adalah salah satu matlamat saya, saya tidak mendiskriminasi sesiapa pun. Saya memilih untuk memadamnya kerana ia tidak mewakili mesej keharmonian yang saya pegang.

"Saya baru-baru mengambil bahagian dalam satu kempen yang menggembirakan saya kerana ia meraikan kepelbagaian.

"Dengan kesedihan yang mendalam, saya memutuskan untuk berundur dari kempen ini kerana cakap-cakap mengenainya membuatkan ia menjejaskan sentimen positif dan inklusif yang mahu disampaikan."

Jurucakap L'Oreal Paris memberitahu BBC Newsbeat: "Kami baru-baru ini telah dimaklumkan mengenai beberapa tweet yang dipaparkan pada 2014 oleh Amena Khan, yang terlibat dalam kempen pengiklanan di UK.

"Kami menghargai Amena yang telah meminta maaf atas kandungan tweet itu dan kesalahan yang telah dilakukan.

"'L'Oreal Paris komited untuk bertoleransi dan menghormati semua orang. Kami bersetuju dengan keputusannya untuk menarik diri dari kempen." -metroUK

L'Oreal, Amena Khan, model berhijab

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Gegarkan Jakarta

Artikel Berikut

Artikel Lain