RAKAMAN video adegan kejam dan menyayat hati yang menyaksikan kucing dan anjing dibakar hidup-hidup di sebuah pasar di Indonesia mendapat bantahan daripada aktivis hak asasi haiwan. Kempen dari kumpulan aktivis, 'Dog Meat-Free Indonesia' itu mendesak pihak berkuasa menutup pasar haiwan hidup di negara itu, di mana mereka mendapati beribu-ribu ekor anjing dan kucing dibunuh tanpa belas kasihan setiap minggu. Video yang dirakamkan oleh para aktivis kumpulan tersebut di pasar ekstrim di bandar Tomohon dan Langowan, pulau Sulawesi menunjukkan pelbagai jenis haiwan dibakar, dipukul dan dibunuh hidup-hidup, termasuklah monyet, kucing dan kelawar. Haiwan-haiwan ini dijual secara terbuka. Antara tindakan yang paling kejam di pasar ini adalah anjing dibakar di tengah jalan di sepanjang gerai yang kotor. Anjing dan kucing yang dilihat dikurung berhimpit di dalam sangkar kecil nampak ketakutan melihat apa yang berlaku di sekitar mereka. Lola Webber, dari gabungan 'Dog Meat-Free' menggambarkan berkunjung ke pasar itu 'seperti berjalan di neraka'. Walau bagaimanapun, ia masih menjadi destinasi pelancongan popular. Kumpulan itu kini menyeru agar kerajaan Indonesia menghentikan pemerdagangan kejam ini. "Slogan pelancongan pada papan tanda 'Wonderful Indonesia' tercemar apabila anda melihat sendiri anjing berlumuran darah dan menggigil ketakutan," kata Bobby Fernando dari Animal Friends Jogja. "Kami memerlukan dunia untuk menyertai kami dalam usaha menamatkan pemerdagangan daging anjing dan kucing di Indonesia." Sebilangan besar majoriti Muslim Indonesia tidak makan daging kucing dan anjing, tetapi penjualan makhluk eksotik ini berkembang pesat di beberapa bahagian kepulauan yang luas ini, di mana ia menjadi sebahagian daripada diet setempat. Untuk menandatangani petisyen yang menggesa aktiviti ini dihentikan, klik Humane Society International.