PELBAGAI teknologi yang dihasilkan masa kini mungkin membolehkan kulit pisang dimakan, sama seperti buahnya. Usaha ke arah itu kini sedang dilaksanakan sebuah syarikat penyelidikan pertanian Jepun. Dikenali sebagai Mongee atau disebut "Mon-gay", buah ini kini ditanam menggunakan proses penyejukbeku dan pencairan. Menurut jurucakap D&T Farm, Tetsuya Tanaka, idea itu tercetus bermula dari penyelidikan yang dilakukan sebagai hobinya untuk Pengurus Pembangunan Teknikal, Setsuzo Tanaka dan ia bermula dari saat itu. Pertama, saintis menanam pokok pisang itu pada persekitaran suhu di bawah paras beku -60 Celsius. Seterusnya, pasukan itu melaksanakan proses pencairan dan penanaman semula. "Perubahan suhu menggalakkan tumbuhan membesar dengan pantas dan membentuk buah yang berkulit umpama tekstur salad," kata Tetsuya. Penanaman pisang biasanya dilakukan pada suhu sekitar 26 Celsius. Malahan, syarikat itu mendakwa proses ini dapat menghasilkan buah dengan khasiat tambahan. "Kulit pisang adalah bahan yang mempunyai khasiat seperti vitamin B6, magnesium dan triptofan. Menurut D&T Farm, Mongee lebih manis berbanding pisang biasa dengan tambahan sekurang-kurangnya lima gram gula setiap buahnya. Selain itu, kata Tetsuya, kulit Mongee juga tidak pahit seperti pisang biasa.-Herald Sun