SELEPAS Afzal Lokhandwala membuka francais KFC pertamanya pada 2002, dia mula mempromosikan restorannya itu ada menggunakan ayam yang halal. Teknik pemasaran itu membuahkan hasil kepadanya sehingga membolehkan usahawan itu membuka lima lagi cawangan di Illinois yang berdekatan dengan masjid dan komuniti penganut Muslim. Sehingga tahun lalu, pejabat korporat KFC bersetuju dengan tindakan Afzal itu dan turut membantunya mengenal pasti pemproses dan pengedar yang memiliki sijil halal. Namun, syarikat francais itu menukar fikiran dan meminta agar Afzal tidak lagi mengiklankan ayam yang digunakannya itu halal, lapor Slate. Afzal berpendapat permintaan itu akan mengganggu perniagaannya dan bertindak untuk menyaman syarikat tersebut, tetapi akhirnya dia kalah di mahkamah. Hakim mahkamah persekutuan, John Robert Blakey memutuskan bahawa KFC mempunyai hak mutlak untuk meluluskan atau menafikan pengiklanan di mana-mana cawangan. Justifikasi KFC terhadap perubahan tersebut adalahj polisi yang dibuat pada 2009 itu bertentangan dengan tuntutan mana-mana agama. Rangkaian restoran itu tidak boleh memberi jaminan sama ada makanan yang disediakan adalah halal atau kosher kerana terdapat perbezaan tafsiran dalam setiap diet agama tertentu. Menurut Religious News, KFC turut mendakwa, pihaknya tidak boleh memberi jaminan bahawa makanan di restoran tidak bercampur dengan bahagian yang tidak halal. - LA Times